Sunday, December 5, 2010

Prolog

Alangkah bagusnya andai orang lain mampu merasa apa yang hati kita rasa. Jika perasaan yang terlakar di hati ini boleh dilihat oleh semua orang, sesetengah keadaan pasti akan menjadi terlalu mudah.

"Kenapa Dya pandang ibu macam tu? Tak gembira ke Abang Ari nak balik cuti?" Ibu cuba meneka. Tanpa jawapan aku melemparkan senyuman paksa. Sebelum ibu bersuara lebih lanjut, aku meminta diri untuk ke bilik.

“Anak dara kesayangan awak tu macam dah jadi bisu. Bila kita cakap, dia cuma tahu senyum, angguk dan mengeleng. Suara dia dah hilang ke?” Suara keras ayah jelas kedengaran di telingaku. Sejak dari aku kenal erti bersih dan kotor, segalanya tentang aku tidak pernah kena di matanya. Layanannya terhadapku cukup berbeza berbanding anak-anaknya yang lain lebih-lebih lagi anak lelakinya yang satu itu.

Hah! bercerita tentang lelaki itu, aku jadi benci dan sakit hati. Bagaimana untuk menyatakan pada ibu dan ayah bahawa aku bukan saja tidak suka lelaki itu balik malah terlalu benci untuk melihat wajahnya. Berita kepulangannya dari luar negara yang ibu bawa itu telah mengacau bilau perasaanku. Seluruh rasa yang melata di ruang hati berkecamuk tanpa mampu aku gambarkan keadaannya. Bimbang, takut, marah dan benci bercampur aduk bagai lukisan abstrak yang berselerakan warnanya.

Malam yang indah berhias bulan purnama di langit belum mampu menyingkir kegundahan hatiku kala ini. Waktu lelapku juga berganjak ke lewat dinihari. Malam itu aku didatangi mimpi lagi, mimpi ngeri yang sudah sekian lama tidak mengganggu lenaku.

Ketika itu aku baru saja terlelap apabila ada seseorang menyelinap masuk ke bawah selimut. Belum sempat menjerit, mulutku ditekup kejap.

"Syyyy...." Suara lelaki memberi isyarat agar diam. Dalam samar cahaya bulan menembusi tingkap bilik, aku lihat wajah Abang Ari begitu hampir dengan mukaku. Menelan liur yang tersangkut di kerongkong, hatiku sedikit lega. Namun, kelegaanku cuma seketika. Ciuman rakus yang singgah di pipi dan menjalar ke leher membuatkan romaku tegak berdiri. Jemarinya yang menjalar ke pahaku mengejangkan seluruh urat saraf.

Dalam usia yang baru menginjak sepuluh tahun, apalah yang aku faham tentang hubungan intim lelaki dan perempuan? Adegan yang sedang Abang Ari lakukan terhadapku ini terlalu janggal dan aku tidak pernah melaluinya sebelum ini.

"A...pa....apa yang abang buat ni?" Tergagap-gagap aku bertanya apabila Abang Ari sudah bertindak menyelak bajuku hingga mendedahkan sebahagian tubuhku.

"Syyy.....Dya ikut saja apa yang abang suruh, pasti Dya rasa seronok nanti." Dia berbisik perlahan sambil tangannya bergerak membuka pakaian yang melekat di badanku. Aku cuba menghalang namun apalah sangat tenaga kecilku berbanding dengan tubuh sasanya itu. Dalam usia enam belas tahun, tubuhnya hampir sama sasa dengan tubuh ayah sedangkan aku masih terlalu kecil untuk melawan tenaganya.

Dalam kekalutan itu, aku cuba untuk menjerit namun suaraku tersekat di kerongkong. Tidak tahu lagi bagaimana untuk aku mengeluarkan suara.

"Dya jangan jerit, kalau tidak abang cekik sampai Dya tak boleh bernafas." Dia mengugut apabila melihat aku seakan ingin membuka mulut. Saat itu aku terasa ingin menangis. Ketakutan sudah melebihi tahap maksima yang dibenarkan dalam sejarah hidupku. Akhirnya, ketika seluruh penghuni rumah sedang enak dibuai mimpi, mahkotaku diragut kejam oleh seorang abang yang seharusnya menjaga dan melindungiku.

“Dya jangan beritahu ibu dan ayah apa yang berlaku tadi, kalau tidak abang jerut leher Dya dengan wayar seterika tu.” Abang Ari memberi amaran dalam nada berbisik sambil melirik ke arah wayar seterika yang berjuntai dari atas papan penggosok pakaian di tepi katil.

Aku terisak menangis di penjuru katil sambil memeluk lutut sendiri untuk menutup anggota tubuh yang terdedah tanpa seurat benang. Keperitan dan kesakitan di seluruh tubuh yang aku rasai masih belum mampu menandingi sakit dan benci yang tumbuh di hatiku saat ini. Aku ditinggalkan sendirian dalam esak tangis bisu tanpa telingaku sendiri mampu mendengarnya.

Tersedar dari lena pagi itu, air mataku membasahi bantal. Aku terpinga-pinga, bagai peristiwa itu betul-betul berlaku malam tadi sedangkan ianya telah berlalu lima tahun lepas.

Astaghafirullahalazimmm......Aku beristighafar panjang. Mimpi itu cukup mengerikan dan peristiwa itu cukup menakutkan. Malam itu hanyalah satu permulaan yang terus mengheret aku menjadi mangsa nafsu buas Abang Ari untuk malam-malam berikutnya.

Semakin hari dia semakin berani, masuk dan keluar dari bilikku sesuka hatinya. Kunci pendua bilikku sudah berada di tangannya tanpa pengetahuan sesiapa.

“Tolonglah bang....Jangan buat Dya macam ni. Sakit bang, Dya tak suka.” Aku merayu dan merintih namun rayuanku tidak pernah diendahkannya.

Mendedahkan perlakuannya waktu itu aku tidak berani kerana dia anak teruna kesayangan ayah. Dia pelajar cemerlang di sekolah dan terpilih ke asrama penuh selepas peperiksaan UPSR. Setiap kali pulang bercuti, aku pasti menjadi mangsa nafsu serakahnya. Tanpa belas dan simpati, dia terus rakus melepaskan keinginannya.

Tiga tahun ke luar negara kerana menyambung pelajaran, kepulangannya terus menceranakan perasaanku. Kepulangannya aku sambut dengan pelbagai rasa yang berselirat di seluruh ruang hati. Kebencian ini sudah berakar umbi, tak mungkin mampu ditarik keluar sehingga jasad di tanam ke perut bumi.

“Hah! Dah tak tahu bagaimana nak salam? Dah lupa nak hormat orang?,” sergahan ayah mengejutkan aku. Sedikit gurisan tercalar di hati. Semakin usiaku berinjak dewasa, rasanya layanan ayah semakin kasar membuatkan hati sering tertanya sendiri, benarkan darah yang mengalir ditubuhku ini adalah darah ayah? Jika benar begitu, kenapa harus dibezakan kasih dan layanannya terhadap kami adik beradik? Pun begitu, hatiku masih mampu terpujuk dengan kasih tulus ibu yang tiada bandingannya terhadapku.

Spontan aku menghulurkan tangan untuk bersalaman, tanpa perasan aku mencium tangan Abang Ari. Ingin saja aku menjerit mengatakan lelaki ini tidak perlu dihormati namun akal warasku menegah keras.

“Makin cantik adik abang.” Pujian serta lirikan matanya bagai menghantar mesej seram yang tidak sanggup aku bayangkan.

Kemeriahan kaum keluarga yang berkumpul menyambut kepulangannya tidak mampu memeriahkan hatiku kala ini. Kebimbangan dan ketakutan lebih banyak menguasai perasaan. Di hati aku berdoa moga kepulangannya kali ini mengubah dirinya menjadi manusia yang sebenar-benarnya manusia, bukan lagi manusia yang bersifat binatang.

Pun begitu, doaku tidak termakbul dan apa yang aku takutkan malam itu terjadi jua. Abang Ari terus menyelinap masuk ke bilikku ketika semua penghuni rumah sedang lena dibuai mimpi. Kedatangannya cukup untuk membuatkan aku terasa ingin saja mencabut nyawa sendiri.

“Tolonglah bang....Jangan apa-apakan Dya. Tolong jangan buat benda tak elok ni, Dya merayu pada abang.” Aku terus memohon simpati sebaik saja dia menghampiriku. Waktu itu aku telah bangun bersandar di kepala katil. Tanpa mempedulikan rayuanku, dia terus memanjat katil.

“Sekejap aje Dya, abang rindu sangat dengan Dya.” Pujukannya makin menakutkan aku. Rakus dia memeluk dan mencium seluruh wajahku. Logikkah seorang abang berkelakuan begitu pada adik kandungnya sendiri?

“Jangan bang...nanti Dya jerit.” Kasar aku menolaknya sambil mengensot sedikit menjauh ke hujung katil.

“Kalau Dya berani jerit, abang cekik leher Dya.” Berulang kali dia mengugutku dengan ayat yang sama.

Aku sudah bersedia untuk lari turun dari katil apabila dia bertindak pantas menerkam ke arahku. Perlakuannya makin ganas apabila aku cuba meronta.

“Kalau Dya melawan, pasti akan sakit. Duduk diam-diam, abang janji tak akan sakitkan Dya. Ikut aje apa yang abang suruh.” Dia memberi arahan bernada ugutan.

Akhirnya, malam itu berulang lagi detik ngeri setelah tiga tahun ia menghilang dari hidupku. Malam itu menjadi saksi berulangnya sejarah hitam, sejarah yang mengesahkan betapa rakusnya nafsu binatang bertopengkan manusia yang sanggup meratah darah dagingnya sendiri berulangkali tanpa belas kasihan.

“Mmmm....Best kan? Nanti malam esok abang datang lagi,” bisiknya sambil mengeliat puas sebelum menyusup keluar dari bilikku.

Tangisanku berlagu lagi. Aku jadi benci pada semua orang di sekelilingku. Benci pada ibu dan ayah yang gagal mendidik anaknya menjadi manusia beriman. Benci pada mereka kerana gagal melindungi aku dari menjadi mangsa penderaan seksual ini. Benci pada abang sendiri yang bertuankan nafsu serakah menjadikan adik sendiri sebagai mangsanya.

Bilakah semua ini akan berakhir? Dari usia sepuluh tahun dan kini menginjak ke usia lima belas tahun, aku terus teraniaya. Bagaimana jika ada benih yang tertanam di rahimku dan ianya membesar di situ? Ke mana aku ingin melarikan diri? Ayah pasti membunuhku jika terjadi begitu. Mati hidup semula pun dia tidak akan percaya bahawa anak teruna kesayangannya sendiri yang melakukan perkara sumbang itu.

Melangkah ke sekolah pagi itu, hatiku sarat dengan pelbagai rasa. Tiga tahun tanpa bayangan lelaki itu, aku cuba melupakan sejarah hitam yang tercipta. Namun, kepulangannya seolah membuka kembali lebaran kepahitan yang telah aku bungkuskan untuk dibuang ke laut dalam.

Semakin meningkat dewasa, aku makin sedar, mana mungkin mampu dibuang sejarah yang terpalit itu kerana seumur hidup kesannya tetap mengiringi langkah kakiku. Lalu, semakin hari aku makin tertekan.

“Kenapa awak ni suka sangat menyendiri? Macam kera sumbang pula saya tengok.” Suara Zarif yang dekat di telinga membuatkan aku hampir terloncat bangun. Entah bila masanya dia sudah duduk di kerusi batu berdepan denganku. Riuh suasana sekolah waktu rehat yang lenyap dalam khayalanku sebentar tadi kembali berkelana di segenap sudut persekitaran.

Seketika aku renung wajah kacak Zarif . Pelajar tingkatan lima yang baru saja berpindah ke sekolah ini suka sangat mengganggu dan menyakiti hatiku. Baru saja beberapa bulan menjejakkan kaki ke sini, dia sudah berani bersuara lantang mengata aku yang bukan-bukan.

“Boleh tak buat kerja sendiri? Jangan nak menyibuk hal orang lain. Saya jadi kera atau monyet, tak ada kena mengena dengan awak,” semburku dan terus bangkit untuk berlalu dari situ. Namun, dia bertindak menyambar tanganku membuatkan aku terduduk semula di kerusi. Tiga lagi pelajar yang sentiasa menjadi ‘macainya’ mula tersengih-sengih. Ada juga beberapa pelajar yang menghentikan langkah berbisik sesama sendiri melihat adengan tersebut.

“Nah! tengok di cermin ni, tang mana yang cantiknya muka awak tu?” Dia memberi arahan sambil menghulurkan cermin kecil ke arahku. Entah dari mana dia mendapatkan cermin tersebut aku tidak pasti.

Semua yang ada di situ tergelak kuat membuatkan wajahku merona merah. Ikutkan hati terasa ingin saja aku lempang wajah mereka satu persatu.

“Hah! kalau dah merah begini, nampak juga cantiknya. Tapi.... yang cantik cuma warna merah pada muka awak tu, lainnya tak ada yang cantik pun.” Dia terus melontarkan penghinaan.

“Kalaulah esok-esok ada jodoh dan kita kahwin, saya akan pastikan wajah cantik awak tu takkan jadi buruk macam sekarang ni.” Dia bersuara lagi sambil tersenyum nakal dan seperti tadi mereka yang ada di situ tergelak lagi. Penghinaan ini bagai satu humor untuk menghiburkan semua orang. Memang melampau.

Dengan marah, aku rentap tangan yang masih kejap di dalam genggamannya dan wajahnya aku renung buat seketika.

“Terima kasih untuk segala-galanya. Penghinaan ini akan saya ingat hingga ke lubang kubur. Angan-angan awak tu akan saya bingkaikan di pintu neraka,” balasku sinis sebelum berlalu pergi. Aku tidak faham apa sebenarnya yang dia inginkan dariku. Rasanya, aku tidak pernah berhutang apa-apa dengannya.

Ketika menuruni anak tangga untuk pulang ke sekolah tengahari itu, Zarif muncul lagi menghadang langkahku. Melihat lagaknya seperti romeo tertelan biji kundang, terasa tekakku loya secara tiba-tiba.

“Jangan sombong Dya, sifat tu takkan membawa awak ke mana-mana.” Dia bersuara ketika kami saling bertentangan.

“Hey! Tak faham bahasa ke? Nak saya gunakan bahasa monyet baru awak nak faham? Saya sombong atau bongkak tak ada kena mengena dengan awak walau sebesar kuman sekali pun,” herdikku dengan suara yang lantang. Kesabaranku sudah sampai ke tahap maksima. Suhu persekitaran yang panas menjadikan darahku cepat saja mendidih.

“Saya cuma nak awak tahu bahawa saya bukan nak menyibuk hal awak tapi saya tak suka tengok perempuan sombong macam awak. Kalau cantik tu tak apa jugak, ini tidak.....bagi free pun rasanya saya tak terliur.” Dia terus meluahkan rasa hatinya, sengaja ingin menyakitkan hatiku. Suara ketawa kawan-kawannya yang bertiga itu terburai menggamatkan suasana.

Pang!!! Satu tamparan aku hadiahkan di pipi kirinya. Buat seketika dia dan aku bagai tergamam dan saling berpandangan sesama sendiri. Terperanjat, mungkin itulah yang dia rasa seperti apa yang aku rasa saat ini.

3 comments:

  1. sejujurnya sy hanya bce novl thriller atau mstery..dn sy sukakn karya ramli awg murshid..tp trnyata tema biasa jika diolah pnulis berbisa mampu melahirkn rasa..thniah buat hani fazuha..bakatmu trserlah..kamu ckup pandai mengolah ayat..merencanakan cerita step by step..aq harap kamu truskn kryamu..dan sy suka karyamu..bukn skdar picisan pada pndangn sy..k.wassalam..

    ReplyDelete
  2. hrap email sy di fb selipar malaya(deathkiss) jika ada info trkini karyamu..wassalam

    ReplyDelete
  3. sejujurnya sy hanya bce novl thriller atau mstery..dn sy sukakn karya ramli awg murshid..tp trnyata tema biasa jika diolah pnulis berbisa mampu melahirkn rasa..thniah buat hani fazuha..bakatmu trserlah..kamu ckup pandai mengolah ayat..merencanakan cerita step by step..aq harap kamu truskn kryamu..dan sy suka karyamu..bukn skdar picisan pada pndangn sy..k.wassalam..

    ReplyDelete