Wednesday, December 8, 2010

Bab 2


BENCI! Itulah rasa yang bertapak di hatiku saat ini. Kunjungan berulang kali Abang Ari melawatku di sini mengumpul rasa benci dan sakit hati yang telah sekian lama tersimpan untuknya. Dia bagai tidak mengerti bahawa aku ini adalah muhrimnya, malah permintaannya hampir-hampir membuatkan aku jatuh pitam.

“Dya dah makan?” soalnya membuka bicara. Kedatangan-nya tidak pernah aku alukan, tetapi tidak juga aku tergamak menghalaunya.

Tanpa suara, aku sekadar mengangguk. Entahlah... aku tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan yang wujud tatkala berdepan dengan lelaki ini. Dia abang kan-dungku, tetapi dia jugalah yang bertanggungjawab merosakkan masa depanku.

“Jom! Temankan abang makan,” ajaknya sambil cuba mencapai jari-jemariku. Aku sempat mengelak dan berundur sedikit ke belakang.

“Dya ada kelas sekejap lagi.” Aku memberi alasan.

Dia diam sejenak, berfikir. Matanya rakus me-nelanjangi seluruh tubuhku. Merimaskan! Kerana pasti aku selamat di sini, rasa bimbang dan takut beransur-ansur pergi.

“Kalau macam tu, malam nanti abang datang jemput Dya. Kita keluar makan dan singgah rumah abang sekejap. Sebelum tengah malam, abang hantar Dya pulang,” ujarnya.

Dia tinggal di sini? Di mana rumahnya? Kenapa tinggal di sini? Kenapa tidak bekerja dengan syarikat ayah di Melaka? Pelbagai pertanyaan muncul di mindaku.

“Abang kerja kat Shah Alam. Syarikat kawan ayah,” jelasnya bagai mengerti kekeliruan di benakku.

“Dya tak nak. Abang jangan datang sini lagi.” Aku me-nolak keras dan berpusing mahu melangkah pergi, tetapi dia cepat-cepat menyambar tanganku.

“Janganlah macam ni, Dya.” Dia cuba memujuk. Cuak aku melihat tingkahnya. Tangan yang dipegangnya cuba kutarik kembali.

“Lepaskan Dya, bang.” Aku meronta-ronta apabila dia semakin kuat menggenggam tanganku, enggan melepaskan.

“Sekejap aje Dya, pleaseee... abang rindu sangat dengan Dya. Dah lama sangat kita tak bersama. Malam nanti abang jemput Dya, ya?” Kali ini dia merayu, membuatkan aku membuntangkan mata.

“Kahwinlah bang. Jangan macam ni. Dya dah tak sanggup, bang. Tolonglah... jangan libatkan Dya lagi.” Kali ini aku pula merayu, sambil berusaha melepaskan tanganku daripada pegangannya.

“Abang tak nak orang lain, Dya. Abang nak Dya juga. Dya tinggal aje dengan abang dan abang janji akan jaga Dya sampai bila-bila. Habis belajar, Dya tak payah kerja. Abang boleh tanggung Dya.”

Mendengar permintaannya, aku menggeleng-geleng, te-rasa seperti mahu pitam. Hilang akalkah dia? Aku ini muhrimnya, mana mungkin tinggal dan tidur seranjang dengannya? Dengan kata lain, jadi ‘isteri’nya?

Dari rupa paras, memang dia tiada cacat celanya di mana-mana. Dia mampu mendapatkan pasangan hidup yang jauh lebih cantik daripadaku. Honda City yang dipakainya sudah cukup mampu meraih perhatian ramai gadis di kota ini. Apa sebenarnya yang dia nampak dalam diriku?

“Tiap kali abang handsome kau tu datang, muka kau mesti macam tempeyek lemau!” kutuk Nyza ketika aku melangkah masuk ke bilik.

“Gaduhlah tu! Abang, konon! Cakap ajelah buah hati!” Anim yang turut berada di situ menyampuk dengan cebikan.

Entahlah. Walau sudah beberapa kali aku menjelaskan pertalian darahku dengan lelaki itu, mereka tidak pernah mahu mempercayainya. Bagaimana untuk dijelaskan lagi bahawa dia adalah abangku sedarah dan sedaging, bukan abang yang diangkat untuk dijadikan teman?

“Budak sekolah rendah bolehlah kau tipu. Takkanlah abang sampai bertarik-tarik, berpegang tangan,” sela Nyza pula.

“Eh! Dia kan muhrim aku, tak berdosa kalau bersentuh-an pun. Bukan macam orang tu, naik motor dengan buah hati, peluk sampai tak cukup tangan! Tak kira waktu, asyik nak kumpul dosa,” tempelakku sengaja menyindir Anim. Nyza sudah tergelak-gelak.

“Kau mengata aku, ya?” Anim yang terasa mengetap bibir memandangku.

“Eh! Kau terasa ke? Tak tahu pulak kau makan cili!” Selamba aku mengenakannya sambil terkekeh-kekeh ketawa.

“Tak apa... aku nak tengok kau dengan Syamir macam mana. Kalaupun tangan tak sanggup berdosa, mata dan telinga? Sama jugak kumpul dosa kan?” Dia sudah mula melibat-kan nama Syamir.

Bercerita tentang lelaki itu, aku malas mengulas lanjut. Biarlah mereka dengan tanggapan masing-masing. Yang penting, antara aku dan Syamir sekadar sahabat sesama pelajar, tiada kurang ataupun lebihnya.

Aku kurang faham kenapa semua yang berkaitan dengan Syamir kelihatan buruk di mata kawan-kwanaku ? Kata mereka, lelaki yang berprofile tinggi seperti itu tidak akan memilih wanita yang biasa-biasa seperti kami ini. Entahlah... bagi aku, Syamir juga seperti lelaki lain. Tiada yang peliknya pada dia. Cuma mungkin dia dilahirkan dalam keluarga berada dan berkereta mewah, maka tanggapan mereka terhadap dia jauh berbeza sedangkan itu semua sudah ditentukan oleh ALLAH.

“Hati-hati dengan Syamir tu, Dya. Banyak cerita tak elok aku dengar pasal dia. Bertukar-tukar perempuan macam tukar baju. Kau ni, tak tahulah masuk dalam senarai ke be-rapa.” Berulang kali nasihat itu keluar dari mulut Nyza tatkala lelaki itu datang mencariku. Nyza tidak tahu yang teras hubungan kami hanyalah sekadar teman biasa.

Memang dia punya ramai teman wanita dan itu hak peribadinya. Katanya lagi, teman akan kekal menjadi teman jika hati kita tidak mampu mengiktiraf mereka menjadi selain daripada itu. Dan selagi dia tidak melangkah melepasi sempadan persahabatan itu, kami akan tetap kekal sebagai teman sekampus.

MALAM itu, Nyza mengajak kami makan di luar. Kalau bab belanja, dia memang tidak pernah lokek. Bila datang angin tidak betulnya, sampai ke Shah Alam dibawanya kami. Nyza cukup beruntung kerana dari tahun pertama pengajian, dia telah dibelikan kereta oleh daddynya. Secara tidak langsung, aku dan Anim juga tumpang sekaki merasainya. Harapkan ayah menghadiahkan kereta untukku? Usah mimpilah biarpun kewangannya lebih daripada mampu untuk membelikan aku sebuah kereta mewah.

Nyza membawa kami ke Kajang. Hendak makan sate Haji Samuri katanya. Macam orang mengidam pula lagaknya.

“Kau ni, sengaja nak menggemukkan kami. Perut aku ni dah rasa macam berlapis tiga, asyik makan tak henti-henti.” Anim mengomel ketika Nyza menyatakan arah tujunya malam itu.

“Alaah... kalau Lokman lari, kau carilah orang lain!” Nyza menjawab.

“Eh! Mulut kau tu jangan celupar sangat,” marah Anim mengundang gelakku. Takut sangat dia jika si Lokman lari. Entah apa yang menariknya pada lelaki itu, aku tidak pernah tahu. Katanya, lelaki yang sudah bekerja seperti itu lebih matang dan kukuh kewangannya. Kalau benar begitu, kenapa pakai motor aje? Entah-entah kena tipu. Lelaki sekarang ni bukan boleh percaya, ada yang cakap jadi manager, tapi sebenarnya tanam anggur aje. Ya ALLAH... mintalah semua itu dijauhkan dari aku dan sahabat-sahabatku ini

Anim dan Nyza masih bertingkah sesama sendiri tentang lelaki pilihan masing-masing. Sehinggalah tiba di Restoran Haji Samuri dan duduk di meja, cerita tentang lelaki masih berlarutan. Aku malas nak menyampuk, nanti lain pula cerita-nya. Mereka berdua kalau diberi peluang bertingkah, boleh naik pekak telingaku mendengarnya.

Sedang menunggu pesanan tiba, aku terperanjat apabila tiba-tiba Anim menjerit nama roomatenya.

“Kau ni... kot ya pun, perlahanlah sikit volumenya. Hampir luruh jantung aku, tahu tak?” marahku pada Anim.

“Itulahhh... termenung memanjang!” tempelaknya sambil melambai sebelah tangan menggamit seseorang.

“Hai! You all pun ada kat sini?” Suara manja Anisya menyapa kami.

Sebaik menoleh, aku melihat Anisya bersama kembarnya sedang menghampiri meja kami dan lelaki segak yang mengekori langkah mereka membuatkan mataku terlupa untuk berkelip. Zarif! Hati terjerit kuat. Nafasku sesak tiba-tiba. Liur yang kutelan terasa kering di kerongkong. Sekian lama cuba kulupakan kepahitan lalu, melihat wajahnya kembali hari ini seakan segalanya berselirat kembali.

Zarif juga bagai terpaku memandang wajahku. Mungkin dia tidak percaya wanita yang pernah dianiayanya dulu kini sedang berada di depan mata. Mungkin juga dia sedang keliru kerana di sekolah dulu aku bertutup kepala, tetapi hari ini sudah berlainan rupa.

Saat Anisya sibuk memperkenalkan kami kepada kembar bersama kekasihnya itu, aku terus bangkit berdiri. Dendam yang terbungkus kemas itu masih kuat memberati hati dan saat ini, terasa ingin sahaja aku mencekiknya sampai mati.

“Aku pergi cuci tangan kejap,” bisikku kepada Nyza. Sambil menyentuh bahu Anisya sebagai isyarat menegurnya, aku berjalan ke sinki.

Lama aku berdiri di depan sinki tersebut sebelum mem-buka perlahan air paip. Lama juga aku menadah tangan di bawah limpahan air itu seolah-oleh ianya mampu menyejukkan darahku yang secara tiba-tiba mendidih kepanasan. Seboleh mungkin cuba kulengahkan masa agar pasangan tersebut tidak lagi kelihatan apabila aku kembali ke meja nanti.

Namun, langkahku terhenti dan kakiku bagai ter-pasak ke bumi apabila dari jauh kelihatan Anisya serta Asyikin dan juga Zarif sudah pun duduk semeja bersama Nyza dan Anim. Maknanya, mereka akan duduk dan makan bersama kami? Ah! Siapa pula yang gatal mulut mempelawa mereka? Spontan panas hatiku berjangkit kepada semua orang yang sama-sama duduk di meja tersebut.

“Dya!” Tiba-tiba suara seseorang memanggil namaku.

“Buat apa kat sini?” Syamir yang sudah pun berdiri di sisiku bertanya kehairanan.

“Tengah main boling. You?” Sempat lagi aku berlawak dengannya. Dua lelaki yang sedang berdiri di sebelahnya sudah tergelak kecil.

“Datang dengan siapa ni?” Dia bertanya lagi tanpa menghiraukan jawapanku. Matanya melilau ke kiri dan kanan, mungkin mencari gerangan manusia yang membawaku ke sini di malam buta begini. Selama menjadi sahabatnya, aku tidak pernah menerima pelawaannya untuk keluar malam bersama kecuali jika bertemu di kawasan kolej. Dia seakan sudah lelah mengajak dan aku pula tidak jemu menolak. Tidak hairanlah jika dia bagai ingin benar tahu dengan siapa aku ke mari.

“I datang dengan Nyza dan Anim. Mereka ada kat sana,” jelasku sambil menghalakan pandangan ke arah meja yang dimaksudkan.

Tiba-tiba aku mendapat satu akal dan spontan, tanganku menarik lengan baju Syamir agar bergerak menjauh sedikit dari kawan-kawannya.

“You dah makan?” soalku perlahan.

“Belum! Kenapa?”

“Kita pergi makan kat tempat lain nak?”

Mendengar pelawaanku, dia bagaikan terpaku seketika.

“Kawan I tu nak campak ke mana pulak?” Dia bertanya kemudiannya sambil menuntas pandang ke arah dua sahabatnya yang sedang memandang kami.

“Angkutlah sekali! Suruh mereka tunggu kat kereta sementara kita jumpa kawan-kawan I kejap.”

Sejenak berfikir, dia akhirnya bersetuju dengan ca-dangan-ku. Setelah mengarahkan kawannya menunggu di kereta, kami beriringan menuju ke arah rakan-rakanku.

“Eh! Terserempak dengan Syamir ke? Patutlah lama sa-ngat.” Nyza bersuara kepoh tatkala melihat kami.

“Mir!” Zarif pula bersuara membuatkan kami serentak memandang ke arahnya. Sambil menghulurkan tangan ke arah Syamir, dia bangkit berdiri.

“Rif... you pun ada kat sini?” soal Syamir tidak percaya. Buat seketika, mereka berjabat tangan dan berpelukan. Buat seketika juga kami yang ada di situ saling berpandangan melihat reaksi mereka. Tidak sangka pula mereka berdua saling mengenali.

“Aku ikut Syamir, tau! Tak payah tunggu akulah. Aku balik dengan dia.” Aku bersuara perlahan sambil mencapai beg sandangku yang berada di tangan Anim. Tanpa me-nunggu jawapan mereka, aku bergerak menghampiri Syamir yang masih berbicara dengan Zarif tidak jauh dari situ.

Melihat kedatanganku, Syamir terus berbisik ke telinga Zarif dan saat itu juga mata Zarif tertancap ke wajahku. Entah apalah yang Syamir bisikkan. Tunggulah... sekejap sahaja lagi aku pasti akan bertanya padanya.



No comments:

Post a Comment