Sunday, December 5, 2010

Bab 1

Bosan! Itulah rasa yang sering memenuhi ruang di hatiku. Detik-detik yang pantas berlalu tidak pernah sekalipun menitipkan aku sekelumit bahagia. Hidup ini bagai satu percaturan yang sering menjadikan aku sebagai mangsanya. Biarpun kuat mengepung rasa, sesekali tergelincir jua dari landasannya dan sesekali aku bagai hilang pedoman. Seringkali bertanya pada diri, untuk apa sebenarnya hidup ini kalau bukan untuk bahagiakan diri sendiri? Namun, untuk apa aku impikan bahagia sedangkan diri ini tidak pernah punya apa-apa kecuali nyawa dan jasad yang dipinjamkan olehNya. Benar...Jika dihitung dengan kekayaan, keluargaku punya segalanya tetapi diri ini masih terasa serba kekurangan.

Pun begitu, aku tetap setia bersujud, mengharap agar diberikan hidayah dan rahmatNya. Moga-moga di penghujung hayat nanti aku mati dalam keredhaaNya. Tiada apa yang aku harapkan dalam kehidupan ini kecuali melangkah dan bernafas dengan tenang biarpun ketenangan itu tidak pernah mahu bertapak lama di hatiku.

“Abang rindukan Dya.” Lirih suara Abang Ari meremangkan bulu tengkukku. Kepulangannya untuk menetap di Malaysia meragut kejam seluruh ketenangan yang aku kumpulkan sekian lama. Kedatangannya ke sini dua hari lepas bagai menggegarkan seluruh ruang hatiku.

"Semenjak kita kenal, ada dua benda yang tak pernah kau tinggalkan sepanjang masa." Bicara Nyza memanggil aku untuk berpaling ke arahnya. Matanya terpaku pada buku, seolah sedang berbicara dengan buku tersebut. Gilakah dia?

"Termenung dan mengeluh," ujarnya, masih terus menatap buku di tangan. Sahabat yang aku kenali semenjak menjejakkan kaki ke kampus UPM Serdang ini sememangnya begitu. Mulutnya akan berbicara mengikut apa yang terlintas di kepala walaupun ketika itu matanya sedang terpejam rapat.

"Masalah harus dikongsi untuk meringankan, bukan disimpan jadikan pekasam yang akhirnya akan membusuk di hati," sambungnya lagi dengan mata yang masih setia menatap buku di tangan.

Bagaimana untuk berkongsi masalah ini? Dari mana harus dimulakan? Perlukah diselak satu persatu tirai yang menutupi detik-detik yang memalukan itu? Hendak kuluahkan terasa malu akan kekurangan diri, hendak disimpan takut lama-lama memakan diri. Hendak kupendam takut nanti menjadi racun yang akhirnya akan membunuh seribu nyawa.

“Bercakap dengan kau, baik lagi aku bercakap dengan dinding, ada juga bunyi bila diketuk.” Kali ini dia sudah meletakkan buku ke sisi dan matanya dihalakan ke wajahku.

“Kau bercakap dengan aku ke? Ingatkan bercakap dengan buku.” Aku sengaja mengenakannya.

“Sejak dua hari ni aku tengok kau gelisah semacam. Sekali tengok macam kucing hilang anak, dua kali telek macam orang gila meroyan pun ada.” Lepas bicaranya, aku tidak pernah terasa hati. Kebiasaan itu adakalanya boleh menyakitkan telinga orang lain yang mendengarnya.

“Kau gaduh dengan Syamir ke?" Dia cuba meneka.

"Itulahhh....Dari awal lagi aku cakap dia tu kasanova, tak sesuai untuk kau.”

“Kau membebel apa malam-malam buta ni? Tersampuk atau kena santau?” Aku terus mematahkan niatnya untuk mengutuk lelaki itu. Entah kenapa, sejak dari awal teman-temanku tidak pernah bersetuju tentang hubungan baikku dengan Syamir, padahal tiada apa yang buruknya pada lelaki itu.

“Hoi! Jom ke bilik aku, ada ‘tulang ayam’ aku beli kat pasar malam tadi.” Suara Anim yang tiba-tiba muncul di muka pintu memecah ruang bilik yang kecil itu. Kerangka tulang ayam yang dicelup tepung dan digoreng garing merupakan makanan kegemaran kami bertiga.

Dari bilik Nyza kami berarak ke arah bilik Anim yang sama arasnya. Selalunya bilik Nyza menjadi tempat lepak kawan sekepala dan bilik Anim pula sesekali menjadi pantry kami. Bilikku jarang dicerobohi kerana roomateku ketua usrah, silap cakap pasti berjela ceramah agama. Akibatnya, berhari-hari aku diburu rasa berdosa.

Masuk ke bilik Anim, semerbak bau berlari masuk ke rongga hidung. Beberapa bungkusan plastik kelihatan berlonggok di atas meja. Memang setiap malam khamis ada pasar malam di Sri Serdang dan Anim akan menjadi pengunjung tetapnya. Kami pula menjadi penunggu setia kerana dia tidak akan pulang dengan tangan yang kosong. Begitulah murahnya hati sahabatku itu. Kata Nyza, Setiap kali dia keluar, pasti mencipta dosa bersama teman lelakinya dan pulang pula mengumpul pahala menjamu kami yang sering kelaparan ini dengan pelbagai makanan.

Sedang menunggu Anim membentangkan kertas dan menyusun pinggan milaminenya di lantai, aku duduk di katil roomatenya. Melihat album gambar yang berukiran cantik terletak di situ, gatal saja tanganku membeleknya. Album ini pastinya kepunyaan Tengku Anisya, roomate Anim yang jarang sekali aku lihat kelibatnya di kolej ini. Engineering student berketurunan Tengku itu kurang bergaul dengan golongan biasa-biasa seperti kami ini.

"Hoi! Menceroboh hak peribadi orang, tak baik tau." Nyza menyergah.

Tanpa mempedulikan sergahannya, mataku terus tertancap pada sekeping gambar berukuran 8R yang terlekat di bahagian depan sekali album tersebut.

"Zarif!!!" Nama itu terus terlafaz dari bibirku. Saat menyebut nama itu, jantungku bagai direntap dari tangkainya. Melihat wajah itu, sekeping hatiku bagai terpanggang di atas bara api. Serta merta kepahitan lampau melayari ingatan.

Kegembiraan ayah dan ibu menyambut kepulangan anak lelakinya dikejutkan oleh panggilan telefon dari pihak sekolah.

“Anak encik menampar pelajar lain di dalam kawasan sekolah. Ramai yang menyaksikannya termasuklah guru disiplin kami.” Kata-kata Cikgu Manan, Penolong Kanan Sekolah Sultan Ibrahim Dua itu memanggil ayah menoleh ke arahku. Tidak berani menentang mata semua yang ada di bilik itu, aku terus menundukkan kepala.

Mereka tidak tahu apa yang berlaku. Kerana Zarif itu anak orang yang berpengaruh di Jabatan Pendidikan Daerah, maka dia juga dianggap berpengaruh di sekolah itu. Di atas sebab itu, semua perkara yang berkaitan dengan lelaki itu harus dibawa ke tengah dan sesiapa saja yang berani mencabar kredibilitinya harus dihukum. Betapa tidak adilnya dunia ini.

Perbincangan yang berlangsung di dalam bilik kecil itu tidak satu pun masuk ke telingaku. Yang berada di fikiranku ketika ini ialah tindakan ayah selepas ini dan apa yang akan berlaku seterusnya? Benar...Sampai mati pun aku tidak mungkin mampu memaafkan lelaki itu. Sejak hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah ini, banyak episod yang menyakitkan dia ciptakan dalam hidupku.

Selepas perbincangan, aku terus dibawa pulang oleh ayah dan ibu. Dalam perjalanan, ayah diam tidak berkutik manakala ibu pula beberapa kali menyeka air mata. Mungkin dia sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku di rumah nanti.

Benar....Aku telah lali dengan perangai ayah. Maki hamun sudah terbiasa aku dengar. Pantang silap, rotan atau penyangkut baju akan berbekas di lengan atau betisku. Peliknya, dalam kami berempat beradik hanya aku yang dilayan begitu. Pernah sekali aku bertanya adakah aku ini bukan anak ayah tapi ibu hanya diam membisu sambil mengesat air jernih yang gugur kerana soalan itu. Saat itu aku nekad, biarlah masa yang menjawab soalan itu. Air mata ibu terlalu berharga untuk menitis tanpa sebab. Saat ini juga aku diserang rasa bersalah. Pantang bagiku melihat air mata ibu mengalir kerana aku.

Tiba di rumah, tanpa suara ayah terus mendorong aku masuk ke dalam. Tanpa suara juga dia terus melurut tali pinggang seluarnya dan di hadapan ibu aku dipukul tanpa belas kasihan. Ibu hanya mampu menangis melihatkan jeritan serta lolonganku.

“Ampun yah.....Ampunkan Dya.....Sakit ayah.....” Aku merayu memohon simpati namun rayuanku makin membuatkan ayah naik hantu. Libasan tali pinggangnya makin kuat membelasah tubuhku. Peritnya usah diceritakan hingga aku hampir separuh nyawa.

“Tak sudah-sudah memalukan aku. Kau berhenti dari sekolah itu lagi baik. Aku akan hantar kau sekolah di kampung, tinggal dengan nenek dan belajar hidup susah jadi orang ulu di sana.” Arahan ayah tidak berani dibantah oleh sesiapa termasuklah ibu sendiri.

“Kau pergi bersiap sekarang, aku terus hantar kau ke kampung nenek,” arahnya lagi sambil menyeret aku ke arah tangga.

“Auuwww.!!” Aku terus menjerit kesakitan kerana bekas libasan tali pinggang itu terlalu bisa menggigit tubuhku. Ibu terus meluru memeluk tubuhku yang diseret ayah.

“Sudahlah tu bang. Mar pohon dari abang, maafkanlah dia.” Ibu bersuara dalam tangisan sambil menarik aku ke dalam pelukannya.

“Awak bawa dia naik ke atas dan kemas pakaiannya. Saya nak hantar dia ke rumah mak awak, biar dia duduk dan belajar di sana. Biar mak awak yang bela dia supaya dia tahu perangai cucunya yang satu ni.” Ayah memberi arahan sambil menujah-nujah kepa
laku dengan jari telunjuk.

Dibantu oleh ibu, aku memanjat anak tangga menuju ke bilik. Kenapa aku dilayan begini? Siapakah sebenarnya aku di mata ayah? Persoalan demi persoalan kian berselirat di benakku. Semakin dewasa, makin banyak persoalan tidak aku temui jawapannya. Peliknya, dalam kami berempat beradik, hanya aku yang sentiasa buruk di mata ayah. Ibu pula hanya mampu menitiskan air mata saat aku diperlakukan seperti anak tiri oleh ayah sendiri. Saat ini juga, ibu sedang menangis dibelakangku. Jalur-jalur bekas libasan tali pinggang cukup menyakitkan apabila disentuh lembut oleh tangannya. Ingin sekali aku tanyakan padanya, benarkah aku ini anak ayah? Namun, soalan tersebut aku pendamkan saja di lubuk hati paling dalam.

“Kau tenung boyfriend orang sampai nak terkeluar biji mata tu kenapa?” Soalan Nyza yang kedengaran dekat di telinga mengejutkan aku dari kenangan masa lampau. Dia sedang berbongkok menatap gambar tersebut.

“Mak ai!! Handsomenya.....Anisya dengan boyfriend dia ke tu?” Kepoh Nyza bertanya. Tangannya pula terlebih dulu membelek-belek album tersebut. Cakap orang, dia pulak yang lebih.

"Itu bukan Anisya tapi kembar seiras dia, Tengku Asyikin. Lelaki tu boyfriend kembar dia." sahut Anim yang tertinjau sama melihat album yang sudah beralih ke tangan Nyza.

“Ooooo...dia ada kembar rupanya. Student sini juga ke?” Nyza masih kepoh ingin tahu sambil duduk bersila mengadap makanan yang telah siap terhidang.

“Ha’ah.... medical student,” balas Anim.

“Boyfriend dia yang handsome tu tak salah aku UKM student tapi selalu juga aku nampak di kampus ni, temankan girlfriend dia study di Library,” sambung Anim lagi.

"Ya ke? Tak pernah nampak pun. Kau pernah nampak ke Dya?" Soalan Nyza buatkan aku tersentak dan spontan kepalaku mengeleng perlahan.

Benar....Aku tidak pernah nampak dia di sini tetapi hakikatnya aku pernah temui lelaki itu. Malah, bukan saja pernah nampak tetapi pernah mengenalinya. Jika nak diceritakan tentang lelaki itu, terlalu banyak yang aku tahu, semuanya yang buruk-buruk belaka.

"Eh! Sekejap, aku nak kacau perempuan tak cantik tu." Suara Zarif tiba-tiba tertangkap oleh telingaku.

"Eleh! Mulut aje cakap tak cantik tapi di hati, mak aiii....siang malam terbayang wajah dia," sampuk satu suara dan terdengar suara lain terburai ketawa.

"Eh, pleaselahhhh....... Takkan kera sumbang macam tu kau nak padankan dengan aku. Baik lagi beruk sarkas, pandai juga bawa diri," balas Zarif membuatkan ketawa rakan-rakannya makin kuat kedengaran.

Aku yang sedang duduk sendirian sambil mengunyah kacang goreng sementara menunggu waktu rehat habis tidak berani menoleh ke belakang. Biarpun pasti topik bicaranya adalah diriku tetapi hati tetap berdoa moga bukan aku yang sedang mereka perkatakan sekarang. Di hati juga aku berdoa agar cepat-cepatlah Adila datang. Dia yang meninggalkan aku untuk ke tandas sebentar tadi tidak juga kunjung tiba.

"Hai! Sorang aje ke?" Suara Zarif yang sudah dekat di belakangku agak mengejutkan. Sah! Memang akulah orang yang diperkatakan itu.

"Taklah, sedang duduk bertiga. Dua lagi adalah malaikat yang mencatitkan kejahatan dan kebaikan saya." Aku masih mampu bertenang.

"Oooo..ingatkan dengan jembalang sombong atau jembalang sumbang?" balasnya, mempersendakan jawapanku sambil ketawa. Beberapa orang 'macai'nya juga turut sama meledakkan tawa membuatkan ramai yang lalu lalang tertoleh pandang. Malunya aku waktu itu hanya tuhan yang tahu.

Jika nak diceritakan keburukannya, terlalu banyak. Dialah satu-satunya manusia yang paling banyak memberi aku dosa percuma kerana sering memakinya di dalam hati. Kerana dia, aku menjadi anak terbuang. Kerana dia, laluan getir terpaksa aku lalui.

Hari pertama di rumah nenek, terasa duniaku kecil sekali. Jarak antara rumah terlalu jauh menjadikan suasana begitu sunyi sekali. Keadaan rumah nenek yang dilingkungi pokok-pokok seta belukar di belakangnya menjadikan suasana seram dan menakutkan buat aku. Berada di situ terasa waktu malam lebih lama dari waktu siang. Dingin udaranya menyebabkan aku sukar untuk bangkit dan mandi pagi.

Hari pertama ke sekolah, aku terpaksa berjalan kaki sejauh dua tiga kilometer. Pulang dari sekolah, aku menangis di jalanan kerana hujan yang turun mencurah membasahi seluruh pakaianku. Buku yang aku sandang juga basah kuyup dan kasut yang aku pakai telah berubah warnanya dalam sekelip mata. Debu jalan yang masih bertanah merah bertukar rupa menjadi selut mengotori kasut dan hujung kain pakaian sekolahku.

“Susah akan mengajar kita erti hidup dan susah juga boleh menginsafkan kita sebagai hambaNya.” Itulah nasihat nenek ketika memujuk aku menangis hari itu.

Aku sebenarnya tidak mengerti bagaimana nenek boleh hidup di tempat yang sebegitu sendirian sedangkan dia boleh hidup senang mengikut ibu ke Melaka. Kata nenek, dia tidak betah tinggal di bandar dan sekali gus meninggalkan tempat tumpah darahnya.

Saat ini, andai ditanya kata hati, banyak dendam yang masih berselirat di situ. Banyak lagi jalur kelukaan perlu aku sembuhkan melekat di situ dan Zarif merupakan salah seorang manusia yang tercatat namanya sebagai punca kepada segalanya. Apa yang dia lakukan padaku tidak mungkin dapat dihapuskan dengan sejuta kata maaf. Puas aku menangis kerananya dan tak mungkin derita yang aku tangggung selama ini mampu ditukar ganti biarpun dia sanggup menjadi hamba abdi untuk seumur hidupnya.

Malam itu, buat pertama kalinya makanan yang dibeli Anim tidak mampu menyelerakan tekakku. Bukan kerana semua makanan itu tidak enak tetapi wajah lelaki itu sudah cukup untuk menutup semua selera yang sering terbuka selama ini.

No comments:

Post a Comment